Showing posts with label catatan harian. Show all posts
Showing posts with label catatan harian. Show all posts

Monday, 14 December 2015

Cawan Baru

Teks: Faezah Mohd Nor
Foto: Simpanan Peribadi

Assalamualaikum

Hari ini saya nak berkongsi petua orang dulu-dulu. Petua bagaimana nak buat cawan di dapur kita jadi berkilat cantik macam cawan baru. Kadang-kadang cawan yang diguna pakai setiap hari akan jadi berkerak, kusam, berkeladak di bahagian bawah dan kelilingnya. Seolah-olah kita basuh tak bersih. Jangan risau, ada penyelesaiannya. 

Cawan yang kusam tadi perlu direndam dengan campuran air baking soda dan perahan lemon. Semuanya bahan alami saja. Saya cuma menggunakan satu sudu kecil baking soda dan satu sudu kecil perahan lemon. Rendam penuh dengan air selama satu malam. Esok pagi-pagi boleh basuh macam biasa. Gerenti nampak macam baru.



Selamat mencuba!


Sunday, 6 December 2015

Seronok Menjual

Teks: Faezah Mohd Nor

Assalamualaikum

Siapa di sini yang rasa seronok sangat bila menjual? Perasaan itu sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Keseronokan yang cukup memuaskan hati. Seronoknya sampai rasa ketagih mahu menjual lagi. Siapa yang pernah merasainya sahaja yang akan faham.

Saya mula berniaga atas talian (secara online) pada penghujung Oktober 2014. Baru setahun jagung berjinak-jinak dalam dunia perniagaan ini. Bermula sebagai ejen dropship, saya memulakan langkah mencari pelanggan dengan membuat iklan dalam kumpulan pengiklanan di Facebook. Alhamdulillah dapat juga hasilnya walaupun sekadar dua tiga orang sahaja yang membeli.

Pertama kali berjaya menjual, terus berkongsi cerita dengan suami. Seronok sangatlah kata orang. Senyum pun melebar saja sampai satu hari suntuk. Gembira sebab hasil titik peluh kita berjaya membuahkan hasil. Rasa puas hati sangat walaupun untungnya kurang dari RM10. Nilai wang ringgitnya sedikit tapi nilai memberi itu dirasakan sangat besar. Pada masa itu baru saya faham apa yang dimaksudkan orang dengan kuasa memberi. Rasa gembira itu pun satu nikmat. Nikmat yang wajib disyukuri.

Terlalu panjang rasanya jika hendak diceritakan perjalanan perniagaan saya. Alhamdulillah sehingga ke hari ini masih lagi beroperasi di bawah nama MyBabyChérie. Saya berazam untuk menaiktarafkan perniagaan saya hingga ke peringkat yang lebih baik. Sekarang saya sudah pon meningkat setapak lagi dengan menjadi pemborong dropship. Insyaallah saya akan berkongsi dengan lebih terperinci pada masa lain tentang bagaimana proses jual beli berlaku sebagai pemborong dropship kerana banyak kelebihannya terutama kepada mereka yang masih lagi bekerja tetapi pada masa sama mahu menjalankan perniagaan sendiri. 

Jangan lupa singgah di fanpage saya, MyBabyChérie!

Saturday, 5 December 2015

1 Bulan 1 Buku

Teks: Faezah Mohd Nor

Assalamualaikum.

Teringat masa zaman kanak-kanak hingusan, bila cikgu di sekolah tanya, "apa hobi kamu?" Tak perlu fikir lama-lama, terus jawab "baca buku, cikgu." Jawapan paling senang dan mudah.

Sampai sekarang pun masih lagi suka membaca. Cuma semakin lama semakin kurang masa untuk menghadap buku 24 jam macam dulu-dulu. Kalau dulu zaman bersekolah, boleh habiskan satu novel dalam masa satu hari saja. Ya, dulu saya memang hantu novel tapi sekarang tidak lagi. Sesuai dengan peredaran umur, saya kini lebih suka membaca 'parenting book' dan buku-buku motivasi.

Bermula bulan ini, saya akan membuat cabaran untuk diri sendiri. Saya mesti menghabiskan satu buku dalam masa satu bulan. Mudah-mudahan cabaran ini bukanlah sekadar hangat-hangat tahi ayam. Oleh itu, saya akan berkongsi pandangan dengan anda semua mengenai buku yang saya baca pada bulan tersebut. Secara tidak langsung, orang lain pun insyaAllah akan dapat manfaatnya sekali.

Jom, mulakan tabiat membaca daripada sekarang!