Friday 4 December 2015

Detik Permulaan

Teks: Faezah Mohd Nor

Alhamdulillah pada tanggal 18 September 1988, saya yang diberi nama Faezah Mohd Nor telah selamat dilahirkan. Saya sememangnya anak jati Terengganu. Apa tidaknya, dari saat dilahirkan sehinggalah kini, masih lagi menetap di Terengganu. Cuma status sahaja yang bertukar. Kalau dahulu berstatuskan pelajar, kini sudah menjadi pekerja.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pasir Panjang dan seterusnya malnjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek. Saya sendiri yang memilih untuk bersekolah di situ. Jika ditanya kenapa, saya pun tidak ada jawapannya. Walaupun kebanyakan cikgu mendorong saya untuk ke sekolah berasrama penuh. Nasib saya baik kerana mempunyai ibu bapa yang memberikan kebebasan kepada anak-anak untuk memilih sendiri sekolah mana yang diingini.

Tamat sahaja Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), saya sudah pun merancang untuk mencari kerja separuh masa apabila sudah mendapat lesen memandu kereta. Mungkin terpengaruh dengan abang yang sebelum ini pernah membuat kerja sementara di kedai makan dan stesen minyak semasa sedang menunggu keputusan SPM keluar. Benarlah kata orang, kita hanya mampu merancang. Impian untuk bekerja sementara terpaksa dilupakan. Bukan itu sahaja, lesen kereta pun tidak sempat dibuat. Hanya sempat dapatkan lesen L sahaja. Semuanya gara-gara saya mendapat surat temuduga kemasukan belajar di sebuah universiti tempatan selepas beberapa minggu habis SPM.

Lebih mengecewakan apabila saya dimaklumkan layak untuk menyambung pelajaran ke universiti tersebut yang mana sesi kemasukan pelajar baru adalah pada awal Januari tahun berikutnya. Ini bermaksud saya hanya ada masa rehat sebulan sahaja sebelum terpaksa merelakan diri untuk belajar lagi. Apa tidaknya, angan-angan untuk berseronok buat itu dan ini terpaksa dilupakan. Biasalah, masih kebudak-budakan. Hati sememangnya berat untuk ke sana.

Tapi hari ini, saya sangat bersyukur dengan aturan hidup Yang Maha Kuasa. Detik itulah menjadi asbab cerita kehidupan saya pada saat ini. Bertemu jodoh dengan rakan seuniversiti dan kini sudah mempunyai dua cahaya mata. Juga ditawarkan bekerja di negeri kelahiran. Memang itulah harapan saya. Dapatlah pulang ke pangkuan keluarga pada setiap hujung minggu. Tapi suami pula bekerja di Kuala Lumpur. Saya percaya, setiap ujian Allah pasti ada hikmahnya. Siang dan malam berdoa mudah-mudahan dipermudahkan jalan untuk hidup sebumbung.

Saya cukup tertarik dengan kata-kata Professor Doktor Muhaya, "Jangan terperangkap dengan dua perkara; penyesalan masa lalu dan kebimbangan hari esok tapi fokus apa yang kita ada pada saat ini." Atas sebab inilah saya memulakan langkah pertama untuk berjinak-jinak dalam dunia blog bagi mengukuhkan lagi bisnes saya. Untuk makluman semua, saya ada menjual buku dan permainan pendidikan awal kanak-kanak. Bermula sekadar suka-suka tapi kini semakin 'in-to-it'. Walaupun hasil jualan tidaklah seberapa tetapi kepuasannya sukar digambarkan. Dapat kenal dengan ramai orang baru yang bermacam latar belakang, dapat berkongsi idea dengan ibu bapa di luar sana dan bermacam ilmu baru. Keseronokannya memang berbeza dengan hasil makan gaji.  Mudah-mudahan dapatlah bekerja dari rumah sahaja tidak lama lagi sekaligus menumpukan sepenuh perhatian kepada suami dan anak-anak.

 Jangan lupa doakan saya.



No comments:

Post a Comment